PETALING JAYA: Pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan selaras komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon tahun 2050.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan tersebut dibuat bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang terselaras dan menyeluruh.
Katanya, inisiatif perolehan hijau kerajaan juga akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Perincian langkah-langkah bagi pencapaian aspirasi pelepasan GHG bersih sifar akan diumumkan setelah kajian strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon negara dimuktamadkan pada 2022.
“Bagi menyokong usaha ini, langkah seperti, dengan izin, carbon pricing termasuk cukai karbon serta instrumen ekonomi lain akan diperincikan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini. – UTUSAN