Kerajaan negeri bina surau Kampung Orang Asli Sungai Gapes - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri bina surau Kampung Orang Asli Sungai Gapes

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan jersi tertera nama beliau pada pelancaran Butik Bergerak Perak FC - Kopa Arena di Lenggong hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kerajaan negeri akan membantu merealisasikan harapan penduduk Islam di 

Perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom dekat Kampar yang menginginkan sebuah surau dibina di kawasan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pembinaan surau berkenaan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di kawasan itu yang semakin berkembang.

Katanya, buat masa ini, masyarakat Islam di kampung tersebut menumpang rumah penduduk untuk solat berjemaah dan kegiatan dakwah.

“Saya telah hubungi Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan beliau telah mendapat maklumat (Pembantu Hal Ehwal Agama Islam) yang bertugas di sana di mana memang ada keperluan untuk membina sebuah surau di situ.

“Kerajaan negeri bersetuju dan kita akan sempurnakan hajat untuk membina sebuah surau sebagai kegunaan masyarakat Islam dalam kalangan Orang Asli di perkampungan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Terdahulu, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut menyempurnakan pelancaran butik bergerak Perak FC-Kopa Arena.

Sementara itu, mengulas sama ada agensi berkaitan terlepas pandang mengenai pembinaan surau di kampung tersebut, Saarani berkata, pembinaan surau atau masjid adalah berdasarkan keperluan bagi sesebuah kawasan.

“Sebenarnya ikut keperluan, jika hanya 10 orang sahaja jemaah, maka tidak berbaloi untuk dibina surau atau masjid. Sekarang berkembang (jumlah yang beragama Islam) di kawasan itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penduduk Orang Asli di Sungai Gapes, Sahom menunggu sebuah surau dibina di perkampungan mereka sejak 25 tahun lalu.

Ketiadaan surau menyebabkan mereka terpaksa menumpang di Rumah Amek atau nama sebenarnya Nur Halimah Abdullah untuk solat berjemaah dan mendalami ajaran Islam.

Rumah berkenaan dijadikan sebagai pusat ibadah sejak tiga tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya