JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim memberitahu beliau tidak bersetuju dengan sikap oportunis Pakatan Harapan (PH) Melaka berhubung krisis politik yang berlaku di negeri itu.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, sikap oportunis dan tidak bertanggungjawab PH negeri itu sehingga mengheret krisis tersebut kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
“Sejak dari awal krisis ini bermula saya tidak bersetuju dengan sikap PH Melaka yang oportunis dan tidak bertanggungjawab sehingga mengheret krisis tersebut kepada pembubaran DUN Melaka dan pilihan raya.
“Saya juga berpandangan PH Pusat turut gagal menangani krisis ini dengan baik dan gagal memberikan panduan dan pimpinan yang betul (kepada PH Melaka),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang bertindak menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Kehadiran mereka iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menguatkan dakwaan mereka akan menyertai PH.
Tambah Hassan, apa yang sedang terjadi di Melaka adalah satu kegagalan kepada PH Melaka dan gabungan itu secara keseluruhannya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dalam laman Facebooknya turut tidak bersetuju dengan tindakan membenarkan ahli politik yang melompat mewakili PH.
“PRN Melaka, buang katak, jangan beri peluang kepada pelacur politik,” ujarnya ringkas.
Perkara itu dipercayai merujuk kepada bekas wakil rakyat terbabit termasuk Idris dan Norhizam yang dilihat muncul pada pentas PH di sebuah hotel di Melaka, semalam. – UTUSAN