ALOR SETAR: Kerajaan negeri bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat persediaan awal menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama JKM telah memperkenalkan pendekatan baharu dengan pusat pemindahan sementara akan dibuka di sekolah-sekolah bersesuaian.
Pada masa sama, menurutnya, mangsa banjir dinasihatkan supaya hadir ke pusat pemindahan sementara untuk didaftarkan bagi menerima bantuan disediakan Nadma.
“Ada peruntukan daripada Nadma berupa keperluan harian dan kemudian sedikit peruntukan kewangan untuk bantu baik pulih kerosakan akibat banjir.
“Saya nasihatkan jangan pindah ikut suka ke rumah adik beradik atau sebagainya sebaliknya tinggal di pusat pemindahan.
“Sebabnya bila kita tengok rekod, nanti mereka tak berdaftar pula dengan JKM dan boleh menjadi masalah. Kalau mereka pindah tempat lain, nanti dipersoalkan pula kenapa orang dapat bantuan dan mereka tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya, di sini semalam.
Sebelum ini, beberapa kawasan di Sik, Baling dan Kuala Muda antara yang terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat selama beberapa jam di negeri ini.
Sementara itu Muhammad Sanusi memaklumkan, mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan dijangka menerima wang sebanyak RM500 seperti dijanjikan sebelum ini, pada minggu depan.
“Saya dimaklumkan peruntukan tersebut sudah pun sampai dan kita akan agihkan bermula awal minggu depan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan jumlah peruntukan serta keluarga yang akan menerima bantuan tersebut. – UTUSAN