Kecewa tertipu tempahan penginapan pangsapuri di Port Dickson - Utusan Malaysia

Kecewa tertipu tempahan penginapan pangsapuri di Port Dickson

NURSUHAIDA Zainal Abidin dan suaminya, Erizan Abd. Latiff menunjukkan laporan polis dan tempahan penginapan yang dibuat mereka menerusi sebuah laman web tempahan penginapan pelancongan terkenal ketika ditemui di Port Dickson, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Hasrat sebuah keluarga untuk bercuti bersama di sini berakhir kecewa apabila sebuah apartmen yang ditempah mereka untuk diinap selama sehari rupa-rupanya telah ditutup.

Nursuhaida Zainal Abidin, 35, dari Senawang, Seremban berkata, dia kecewa kerana pangsapuri tersebut telah ditempahnya menerusi sebuah laman sesawang tempahan penginapan pelancongan terkenal.

“Semalam lebih kurang pukul 2.40 petang semasa kami mahu memasuki pangsapuri tersebut, saya telah berjumpa dengan seorang lelaki yang juga merupakan pemiliknya yang memberitahu premis tersebut ditutup akibat lif tempat penginapan tersebut rosak.

“Lelaki itu juga memberitahu pangsapuri itu telah ditutup sejak bulan Mei lalu dan turut telah menyekat supaya ia tidak boleh lagi ditempah menerusi laman sesawang tersebut. Katanya sebelum ini turut telah berlaku kejadian serupa dan saya bukan merupakan orang yang pertama,” katanya ketika ditemui semalam.

Nursuhaida berkata, dia telah membuat pembayaran penuh sebanyak RM164 untuk menginap di pangsapuri itu dan oleh kerana berasa tertipu, dia dan suami telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson semalam.

“Saya kecewa kerana sekiranya pangsapuri itu telah ditutup, laman sesawang tersebut tidak sepatutnya mempromosikan penginapan tersebut lagi. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pengendali platform tersebut menerusi e-mel namun masih belum menerima maklum balas.

“Meskipun kerugian di pihak kami tidak besar nilainya namun saya harap dengan laporan polis yang dibuat, pihak berkuasa dapat membuat siasatan supaya perkara sama tidak berulang kepada orang lain kelak,” katanya.

Nursuhaida menambah, dia juga dimaklumkan bahawa pemilik pangsapuri tersebut juga telah membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut sebelum ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya