KOTA TINGGI: Kebimbangan seorang moyang terhadap keselamatan cicitnya akhirnya menjadi kenyataan apabila kanak-kanak berusia dua tahun itu maut dalam kemalangan motosikal bersama sebuah lori di Jalan Mawai-Kuala Sedili, dekat sini kelmarin.
Shapiah Osman, 72, berkata, dia sering berpesan kepada ibu kanak-kanak itu iaitu cucunya, Nurellisa Mohd. Al Bakri, 21, agar menjaga keselamatan termasuk memakai topi keledar ketika keluar menaiki motosikal bersama cicitnya itu, Nurelina Abdullah.
“Semasa kejadian berlaku, cucu saya membawa anaknya ke kedai untuk membeli makanan yang biasanya dia akan meminta tolong adiknya, Olivia Maisarah, 15, untuk menjaganya, namun hari itu adiknya demam.
“Saya pun tidak tahu dia bawa Nurelina menaiki motosikal, jika tidak memang saya tidak benarkan. Bahkan selama ini pun saya sering pesan agar jangan bawa anak jika naik motosikal kerana bahaya,” katanya ketika menerima ziarah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Tinggi, Norlizah Noh di Kampung Mawai, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.55 pagi itu, Nurelina maut di tempat kejadian manakala ibunya cedera parah selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Mawai-Kuala Sedili.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari arah Kuala Sedili menghala ke Mawai.
Motosikal dinaiki mereka dipercayai dilanggar dari arah belakang secara tiba-tiba oleh sebuah lori jenis Nissan yang datang dari arah sama.
Sementara itu, Shapiah yang dipanggil ‘Nyang’ oleh kanak-kanak itu berkata, kali terakhir dia melihat Nurelina manja dengannya bermain di hadapan rumah pada waktu pagi sebelum kejadian.
Dalam pada itu, Olivia berkata, kakaknya yang sedang hamil tiga bulan masih tidak tahu tentang kematian anaknya memandangkan doktor menasihati agar tidak memaklumkan berita berkenaan buat masa ini.
“Kakak baru sahaja seminggu bekerja sebagai penghantar barang. Masa hari kejadian kakak keluar sekejap untuk membeli bubur dan rojak, namun difahamkan kedai tutup dan dia ada ajak saya sekali tetapi saya tidak sihat. Tiba-tiba tak lama selepas itu kami dapat berita dia kemalangan dengan lori bersama anaknya.
“Keadaan kakak stabil, malah kandungannya juga selamat dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail,” katanya yang memberitahu jenazah anak saudaranya selamat dikebumikan pada hari sama di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mawai. – UTUSAN ONLINE