HULU TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemukan mati lemas selepas terjatuh dari rumah bot di Tasik Kenyir di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa, Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada pukul 10.48 malam.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu itu dilaporkan tidak sedar diri selepas diselamatkan dan diberikan bantuan pernafasan oleh kakitangan rumah bot berkenaan.
Katanya, sebelum kejadian, kanak-kanak itu bersama keluarganya dikatakan berlepas menaiki rumah bot dari Jeti Pengkalan Gawi pada pukul 3 petang untuk bermalam di kawasan Air Terjun Lasir.
“Mangsa yang terjatuh dan tenggelam diselamatkan kakitangan rumah bot selepas 10 minit kejadian berkenaan.
“Bapa mangsa dan kakitangan rumah bot kemudian membawa mangsa ke jeti dan setibanya di sana pada pukul 9.30 malam, kanak-kanak itu sekali lagi diberikan CPR oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), namun keadaannya masih tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.48 malam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau menyertai program pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Tasik Kenyir.
Rohaimi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE