TUMPAT: Laman Warisan Kampung Laut dan Masjid Kampung Laut, di sini masing-masing berpotensi untuk diangkat sebagai Tapak Warisan dan Objek Warisan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan menyokong penuh perancangan pencalonan kedua-dua lokasi berkenaan untuk mendapat pengiktirafan daripada Unesco.
“Potensi kedua-dua lokasi itu amat besar untuk mendapat pengiktirafan tersebut kerana ia memenuhi kriteria pencalonan iaitu lokasi tradisi budaya yang unik dan contoh seni bina luar biasa.
“Kelantan sebagaimana diketahui kita selama ini sememangnya sebuah negeri yang kaya dengan budaya dan warisan unik. Jadi, ia perlu dipelihara dan diketengahkan ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Laman Warisan Serunding Kampung Laut daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kampung Laut di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.
Laman Warisan Serunding Kampung Laut merupakan Pakej 1 Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, Masjid Kampung Laut yang sebelum ini berada Nilam Puri, Kota Bharu dipindahkan semula ke tempat asalnya di sini pada tahun lalu akan diberi keutamaan sebagai produk pelancongan selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara 2021.
Laman Warisan Serunding Kampung Laut pula kata beliau, menyediakan ruang niaga untuk sembilan usahawan tempatan yang bukan sahaja menjual serunding, malah makanan tradisi lain seperti dodol dan kuih gelembung buaya.
“Kawasan ini akan siap sepenuhnya pada tahun depan dan apabila siap sepenuhnya, ia bakal menjadi sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi yang mesti dilawati di Kelantan,” katanya.-UTUSAN ONLINE