PETALING JAYA: Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penduduk yang tinggal di sekitar ibu negara berada di tahap tinggi dan memuaskan.
Perkara itu jelas apabila secara purata, kira-kira 10 kompaun dikeluarkan oleh polis Kuala Lumpur setiap hari kepada orang awam yang didapati melanggar SOP.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bagaimanapun, kadar kompaun akan meningkat sedikit pada hujung minggu memandangkan orang ramai mengambil peluang untuk meluangkan masa dan beriadah.
“Justeru, kita mempunyai sebanyak 68 pasukan pematuhan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP PPN seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
“Selain itu, kita juga ada bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memantau SOP PPN. Sebagai contoh, pemantauan di tapak pembinaan, ia memerlukan bantuan Jabatan Tenaga Kerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihak polis Kuala Lumpur berpuas hati dengan kadar pematuhan SOP di ibu negara dan setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang laporan berhubung pelanggan yang masuk ke dalam premis tanpa mengimbas kod MySejahtera.
“Kalau ada maklumat berkaitan perkara berkenaan, mereka boleh melaporkan kepada polis. Kefahaman masyarakat Kuala Lumpur terhadap SOP sangat tinggi,” katanya.