Jurunikah selama 63 tahun Tokoh Maulidur Rasul Terengganu - Utusan Malaysia

Jurunikah selama 63 tahun Tokoh Maulidur Rasul Terengganu

YASSIN SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jurunikah bertauliah di daerah ini selama 63 tahun, Yassin Salleh, 79, dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1443H peringkat negeri dalam majlis sambutan yang diadakan secara dalam talian, malam tadi.

Beliau yang juga merupakan guru muallim dari Kampung Losong Panglima Perang, di sini menerima wang tunai RM12,000, plak dan sijil penghargaan.

Pesara guru sejak 1997 itu pernah menjadi Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Terengganu dari 1990 hingga 2000.

Yassin mendapat pendidikan awal di Pondok Durian Guling di Marang selama lima tahun sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah dan undang-undang di Universiti Darul Uloom Deoband di Uttar Pradesh, India pada 1962 dan kemudian merantau ke Pakistan bagi mendalami ilmu tafsir.

Pada 1970, beliau menyambung pengajian ijazah sarjana muda syariah di Universiti Al-Azhar di Mesir di samping mengambil diploma pendidikan di Universiti Ain Shams di negara sama sebelum pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama bermula pada 1974.

Dalam majlis sama, Anugerah Tokoh Dakwah pula diberikan kepada Mohd. Suhaimi Daud dari Dungun manakala Mohd. Draman pula dinobatkan sebagai Tokoh Keluarga Lengkap Mithali dan Hasnah Abdullah (Tokoh Keluarga Tunggal Mithali).

Bagi Anugerah Kebersihan dan Keceriaan Masjid, johan diraih Masjid Kubang Ikan, Kuala Terengganu diikuti Masjid Hadhari, Besut (kedua) dan Masjid Paya Pelandang, Dungun (ketiga).

Untuk surau pula, tempat pertama dimenangi Surau Taman Baiduri Geliga, Kemaman manakala Surau Nurul Amin Taman Golf, Kuala Nerus (kedua) dan Surau Al-Iman Losong, Kuala Terengganu (ketiga).

Bagi kategori tanah perkuburan, pemenangnya ialah Tanah Perkuburan Pulau Manis, Kuala Terengganu (pertama); Tanah Perkuburan Kampung Kayu Kelat, Besut (kedua) dan Tanah Perkuburan Masjid Tok Gebok, Hulu Terengganu (ketiga). – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya