ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling menunjukkan sedikit peningkatan hari ini.
Seramai 358 mangsa direkod masih berada di PPS di daerah itu hari ini berbanding catatan seramai 352 mangsa, semalam.
Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, hanya 14 PPS yang masih dibuka di Baling yang menempatkan 358 mangsa daripada 125 keluarga.
Sementara itu, menurutnya, PPS di daerah Padang Terap dan Sik pula telah ditutup secara berperingkat sejak 1 Oktober lalu.
“Sebanyak 14 PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan SK Tunku Putra, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung, Dewan Banggol Derom, Maktab Mahmud Baling, SK Malau, SK Parit Panjang, Kampung Padang di Kupang, SK Mohd. Ariff Abdullah, SK Tembak A dan SK Jemarli.
“PPS SK Titi Gantung mempunyai jumlah mangsa paling ramai iaitu 46 orang dan diikuti PPS Dewan Banggol Derom pula seramai 44 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, tambahnya, jumlah mangsa banjir itu kembali berkurangan sekiranya cuaca di daerah itu bertambah baik hari ini.
Jelasnya, jumlah mangsa banjir tertinggi yang dicatatkan pada 1 Oktober lalu membabitkan 380 mangsa daripada 131 keluarga melibatkan 17 PPS di tiga daerah iaitu Kulim, Baling dan Sik. – UTUSAN