KUALA LUMPUR: Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi Malaysia) hari ini menganjurkan Program Jom Silat 10.10 sempena sambutan Hari Sukan Negara.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Jom Silat 10.10 merupakan program imbasan kejayaan Pusaka Hanafi Malaysia yang telah berjaya mencipta Rekod Malaysia dalam kategori ‘Largest Silat Participation’ dan ‘Largest All-Women Silat Performance’ yang dicatat pada 10.10.2010 di Dataran Merdeka.
“Saya lihat pada hari ini, pesilat-pesilat Pusaka Hanafi Malaysia yang hadir begitu bersemangat dengan pakaian lengkap uniform persilatan meskipun berada di rumah masing-masing dengan majoritinya adalah golongan belia.
“Program Jom Silat ini dapat memupuk semangat jati diri dan menerapkan nilai-nilai murni serta membentuk disiplin di kalangan peserta,” katanya ketika berucap secara Zoom Live hari ini.
Dalam ucapan itu juga, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Pusaka Hanafi Malaysia dengan menjelaskan kementeriannya akan terus membantu perkembangan silat di seluruh negara.
Sementara itu, Pewaris Mutlak Silat Cekak, Kolonel Kehormat (PA) Dr. Md. Radzi Hanafi mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas kejayaan mengawal penularan Covid-19 dan memberi kebenaran aktiviti sukan fizikal dijalankan semula mengikut SOP tertentu.
“Sudah tiba masanya, untuk Silat Cekak Pusaka Hanafi kembali memulakan kelas-kelas persilatan. Kita amat berbesar hati kerana Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan sendiri telah memberi sokongan kepada usaha ini,” katanya dalam majlis yang sama.
Program tersebut telah dihadiri seramai hampir 1,000 orang ahli secara Zoom Live dan lebih 40,000 orang secara FB Live dan pelbagai saluran media digital atas talian. – UTUSAN