KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sedang memburu suspek yang terlibat dalam pembunuhan kejam 11 ekor penyu hijau yang ditemukan dalam keadaan dagingnya dilapah di Kampung Amboh-Amboh, Semporna pada Jumaat lalu.
Pengarah JHL Sabah, Agustine Tuuga berkata, pihaknya menemukan bangkai penyu hijau itu menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan kerjasama anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Tiger Platun pada pukul 9.41 pagi.

Operasi susulan pada keesokan hari di lokasi sama tidak melibatkan sebarang tangkapan suspek. Namun, pasukan OBK menemukan dua karung putih disyaki daging penyu, 11 keping cengkerang, sebatang kait, dapur memasak, kuali, pisau, kapak dan batu asah.
“Sehingga kini operasi untuk mengesan penjenayah yang terlibat masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada 6 Julai lalu, pasukan OBK berjaya memberkas seorang lelaki bersama dengan 12 keping cengkerang, 39 keping sisik marginal dan 4.8 kilogram lemak penyu.
Lelaki ini telah dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman denda RM150,000 dan empat tahun penjara.
Augustine berkata, jenayah membabitkan pembunuhan penyu yang berlaku di Semporna biasanya dilakukan oleh Bajau Laut atau palauh.
Mereka ini tiada dokumen pengenalan diri jadi, sukar untuk melakukan tangkapan dan mereka ini menggunakan perahu kecil yang mudah mendarat di pulau. Kemudian mereka akan bersembunyi di dalam hutan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Berikutan itu, JHL memohon kerjasama penduduk setempat untuk melaporkan sebarang aktiviti memburu penyu kepada agensi terlibat agar jenayah pembunuhan hidupan liar ini dapat dibanteras.
Penyu hijau merupakan spesis haiwan yang dilindungi di bawah Enakmen Hidupan Liar 1997.-UTUSAN ONLINE