PUTRAJAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan takziah buat keluarga anggota Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Mohd. Diya Che Jusoh yang kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Melaka awal pagi tadi.
Beliau ternyata berat hati apabila dimaklumkan berita sedih berkenaan kira-kira pukul 3.11 pagi itu.
“Jenazah kini masih berada di Hospital Besar Melaka. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jasa, bakti dan pengorbanan yang tidak terbalas.
“Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran sebaiknya dan mengangkat darjat Allahyarham bersama orang-orang soleh. Al-Fatihah,” ujarnya menerusi laman Facebook miliknya sejurus menerima perkhabaran berkenaan.
Dalam kejadian banjir petang semalam, Mohd. Diya dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk Kampung Sungai Putat, Melaka keluar dari kediaman masing-masing.
Arwah yang berusia 46 tahun dikatakan tergelincir sebelum ditolak arus deras ketika kerja-kerja menyelamat 14 mangsa yang terperangkap di anjung sebuah rumah.
Dia kemudiannya diselamatkan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan segera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN