PETALING JAYA: Para peminat badminton tanah air diharap jangan terlalu membandingkan prestasi Siti Nurshuhaini Azman dan K. Letshaana dengan pemain berkelas dunia di Piala Uber.
Jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Indra Wijaya adalah tidak wajar tindakan itu kerana mereka masih muda dan dalam fasa remaja berbanding dengan lawan mereka yang jauh lebih berpengalaman di kejohanan itu.
Katanya, mereka secara keseluruhannya masih belum biasa berjumpa pemain handalan dunia secara harian dan kedua-dua pemain ini juga adalah pertama kali mewakili Malaysia di kejohanan besar seperti itu.
“Siti dan Letshaana masih muda, dalah tidak bijak untuk membandingkan mereka dengan pemain yang jauh lebih berpengalaman berbanding mereka.
“Bagi saya mereka sudah beraksi dengan baik, boleh bermain dengan cara mereka dan ini merangkumi Eoon (Qi Xuan) tetapi memang banyak kerja yang perlu dilakukan pada masa akan datang.
“Bukan mudah untuk siapkan pemain bagi Sukan Olimpik Paris 2024 kerana banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Indra berkata, selepas ini Siti Nurshuhaini dan Letshaana akan dihantar ke kejohanan Cabaran Anatarabangsa Republik Czech bersama Qi Xuan manakala S. Kisona akan ke Terbuka Denmark.
“Memang benar, kalau diikutkan prestasi mereka tidak sampai tahap tinggi tetapi mereka ini harus diberikan cabaran.
“Kalau lihat prestasi mereka adalah Siri Jelajah Dunia Super 100 sahaja tetapi mereka masih ada masa,” katanya.