Jalan hubungkan pekan Yan ke Singkir ditutup sementara

Jalan hubungkan pekan Yan ke Singkir ditutup sementara

KEADAAN jalan utama menghubungkan pekan Yan ke Singkir, Merbok ditutup sementara berikutan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Kilometer 48.4, Tanjung Jaga, Yan, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Jalan utama yang menghubungkan pekan Yan ke Singkir, Merbok ditutup sementara berikutan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di kawasan lereng bukit di Kilometer 48.4, Tanjung Jaga, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, hasil pemantauan yang dilakukan, runtuhan tersebut melibatkan kawasan sepanjang 30 meter dan setinggi 12 meter.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama agensi dan jabatan berkaitan sejak pagi tadi.

“Ekoran itu, laluan utama yang menghubungkan Pekan Yan ke Singkir, Merbok itu ditutup buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, tiada laporan kemalangan jiwa atau kecederaan membabitkan orang awam berlaku dalam kejadian tersebut. 

Selain itu, tambahnya, pemantauan kawasan berisiko tanah runtuh di sini seperti di sekitar Hulu Sungai Seri Perigi, Titi Hayun dan Batu hampar.

“Malah, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut melakukan pemantauan cerun-cerun berisiko sepanjang jalan ke Puncak Gunung Jerai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, kejadian banjir di pekan Yan kembali pulih sepenuhnya selepas ditenggelami banjir selama beberapa jam pada malam semalam.

Katanya, pihaknya bersama beberapa agensi dan jabatan berkaitan sedang melakukan bancian berkaitan kerosakan dalam kejadian banjir petang semalam.

“Bantuan awal akan disalurkan kepada penduduk yang terlibat,” katanya.

Dalam kejadian banjir kira-kira pukul 6 petang semalam, lebih 300 buah rumah di 10 kampung dilanda banjir selepas hujan lebat berpanjangan sejak pukul 4.30 petang.

Sebahagian rumah penduduk terutama yang terletak di kaki Gunung Jerai dan sepanjang Sungai Yan dinaiki air sehingga satu meter.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Seberang Pekan Yan, Kampung Acheh, Kampung Lubok Boi dan Kampung Telok Mat Acheh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya