SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan merampas sebanyak 12 ekor labah-labah besar Tarantula pelbagai spesies pada 6 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, rampasan itu menerusi satu pemeriksaan penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah premis yang terletak di daerah ini.
Menurutnya, kesemua hidupan liar terbabit disimpan tanpa sebarang dokumen penyimpanan sah oleh Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat berkaitan operasi dan rampasan hidupan liar berkenaan.
“Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 60 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana kesalahan menyimpan hidupan yang dilindungi tanpa lesen,” katanya hari ini. – UTUSAN ONLINE