Isu pencemaran alam sekitar: Saman sahaja tanpa kompromi

Isu pencemaran alam sekitar: Saman sahaja tanpa kompromi

Orang ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berkunjung dan berkelah di Pantai Saujana, Port Dickson, baru-baru ini. – FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sepatutnya mengenakan tindakan undang-undang lebih tegas terhadap mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar seperti pihak berkuasa mengenakan kompaun akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang jangkitan Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Sha­riffa Sabrina Syed Akil berkata, de­ngan hukuman lebih berat tanpa kompromi, secara tidak langsung membuat masyarakat berfikir sebelum melakukan pen­cemaran alam.

SHARIFFA SABRINA SYED AKIL

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menghantar anggota tanpa memakai uniform memantau keadaan di sekitar kawasan tumpuan awam seperti pusat riadah dan pusat-pusat pelancongan.

“Pakai pakaian biasa sahaja dan ronda di tempat-tempat seperti ini sama ada tepi laut, sungai atau pantai untuk berkelah. Pihak polis boleh memantau dari hujung ke hujung dan jika ada yang mencemarkan alam sekitar, saman sahaja tanpa perlu bertolak ansur lagi.

“Apabila menyentuh soal bayaran denda ini, orang akan berasa takut untuk melakukan kesalahan seperti mana kita patuh SOP Covid-19 yang mewajibkan kita memakai pelitup muka di kawasan awam.

“Kalau kita boleh berdisiplin dengan memakai pelitup muka, kenapa tidak kita lakukan perkara sama dalam isu alam sekitar? Kalau nak buat kempen keseda­ran lagi sudah membuang masa dan duit, jadi, saman sahaja de­ngan harga tinggi,” katanya keti­ka dihubungi semalam.

Kebenaran pergerakan rentas negeri merancakkan kembali sektor pelancongan negara, ba­gaimanapun, kehadiran ramai pengunjung memberi kesan dalam aspek kebersihan di kawasan tumpuan orang awam termasuk di sekitar pantai di Port Dickson apabila sisa dan bekas makanan serta botol air berselerakan.

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN

Senada dengan Shariffa Sabrina, penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman pula berkata, apa jua penyelesaian isu alam sekitar bergantung kepada tahap ke­sedaran di peringkat pembuat dasar jika merasakan ia penting negara dan rakyat.

Katanya, sikap malas, sambil lewa dan tidak memikirkan kesan pencemaran terhadap ekosistem menyebabkan mengapa budaya terkutuk berkenaan masih lagi berlarutan hingga hari ini.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu menguatkuasakan undang-undang kecil yang berkaitan sebagai pengajaran untuk mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya