ALOR GAJAH: Selain untuk menyembunyikan kelemahan mutu permainan, penggunaan istilah ‘pendedahan’ juga dikhuatiri boleh melemahkan mentaliti atlet profesional negara.
Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengingatkan agar persatuan sukan tidak menggunakan istilah tersebut, sebaliknya mereka perlu merapikan persiapan dalam menghadapi setiap perlawanan khususnya di peringkat antarabangsa.
Kata Ahmad Faizal atau Peja, setiap kekalahan juga perlu diakui dan penilaian komprehensif mesti dilakukan terutama dalam ‘mengemaskan’ strategi wakil negara serta mengenal pasti kelemahan pihak lawan.
“Kita tidak boleh menggunakan istilah ‘pendedahan’ atau ‘percubaan’ setiap kali atlet profesional menghadapi perlawanan di peringkat antarabangsa kerana ia juga akan melemahkan mentaliti atlet.
“Penggunaan istilah pendedahan dan percubaan ini sepatutnya tidak berlaku. If you go you must go dengan persiapan yang rapi dan berikan persembahan yang terbaik,” katanya dalam sidang akhbar bersempena program sambutan Hari Sukan Negara peringkat daerah Alor Gajah, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai terdapat pihak yang sering kali menggunakan istilah pendedahan kepada atlet profesional apabila menghadapi perlawanan di luar negara.
Kelmarin, pemain badminton wanita negara, Eoon Qi Xuan melakar kejutan ke atas pemain No. 23 dunia, Line Christophersen, namun tidak cukup untuk menghalang Malaysia dari tewas 1-4 kepada tuan rumah dalam aksi pembukaan Piala Uber di Aarhus, Denmark.
Malah skuad Harimau Malaya juga terpaksa akur apabila mengalami kekalahan 0-4 kepada Jordan, Khamis lalu, sebelum dimalukan Uzbekistan 1-5 semalam dalam aksi persahabatan di Amman.
Mengulas mengenai kekalahan pasukan negara dalam dua aksi tersebut, Peja mengakui turut kecewa dan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki oleh Harimau Malaya.
“Walaupun kecewa dengan kekalahan, saya akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet kita yang menyertai sukan di peringkat antarabangsa.
“Jangan kita kecam atlet sehingga mereka tidak boleh bangkit semula, sebaliknya menyokong mereka dan sebagai peminat saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.