PETALING JAYA: Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dalam UMNO tergugur secara automatik selepas terlibat dalam gerakan menjatuhkan Kerajaan Negeri Melaka sedia ada.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kedua-dua mereka sudah secara terbuka menyatakan tidak lagi bersama kerajaan negeri.
“Apabila dinyatakan dalam sidang media secara terbuka mereka bersama dengan parti tidak membentuk kerajaan dan meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik akan tergugur haknya sebagai ahli UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Melaka hari ini.
Terdahulu, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan Nor Azman bersama dua lagi ADUN mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta-merta.
Dua lagi ADUN ialah Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO akan menggugurkan ADUN daripada parti itu di Melaka yang didapati terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.
Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan peraturan ditetapkan parti.
Tambah Ab. Rauf, sebelum ini dia tidak pernah melihat empat ADUN berkenaan akan berbuat demikian, memandangkan Ketua Menteri tidak pernah memaklumkan sedang menguruskan pasukan yang bermasalah.
Katanya, tiga Exco berkenaan juga tidak pernah menyanggah Ketua Menteri dalam semua keputusan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Dalam suasana yang begitu baik demi kerajaan yang dibina bersama, mereka membuat keputusan untuk menarik sokongan. Saya terima ini sebagai seni dalam politik yang berdepan dengan 1,001 kemungkinan.
“Saya tidak pernah memilih duri atau daging semasa mereka dipilih sebagai exco dan diberi kepercayaan untuk bekerja bersama Ketua Menteri. Tapi hari ini mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah duri yang sebenarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE