MELAKA: Empat hari selepas kemelut politik melanda negeri ini, spekulasi akhirnya terjawab apabila empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerajaan mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuatkuasa serta merta.
Seperti yang diramalkan, gerakan untuk menggulingkan kerajaan tersebut diketuai bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad.
Dalam sidang akhbar hari ini, Idris berkata, mereka hilang kepercayaan bukan sahaja terhadap Sulaiman, tetapi kepada seluruh barisan kepemimpinan kerajaan negeri.
Menurutnya, ia sekali gus menandakan, kerajaan diterajui UMNO hilang majoriti untuk terus mentadbir Melaka.
Ketika ini, kerajaan yang memerintah mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) pula 11 kerusi.
Apabila empat ADUN kerajaan bekerjasama dengan PH, ini membolehkan mereka mentadbir dengan majoriti 15 kerusi.
“Kami berempat sudahpun menyerahkan surat ketidakpercayaan kami dan turut menarik balik sokongan kepada Sulaiman. Kami telah hantar surat itu ke Pejabat Ketua Menteri hari ini.
“Kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan baharu ditubuhkan bagi meneruskan perjalanan dan pentadbiran negeri di masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel La Crista, Banda Hilir di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Idris menambah, banyak keputusan kerajaan negeri yang dibuat tidak terlaksana, seolah-olah terdapat ‘dua singa atas satu gunung’.
Tegasnya lagi, beliau bersama Nor Azman telah bersedia berdepan dengan segala akibat dan tindakan yang akan diambil oleh pucuk pimpinan UMNO kelak.
Tambah Idris, tindakan yang diambilnya itu demi meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.
“Saya dan Nor Azman masih lagi menjadi ahli UMNO hingga hari ini. Apa pun tindakan kami berdua, saya serah kepada parti dan menunggu Lembaga Disiplin parti untuk panggil kami berdua nanti,” ujarnya. UTUSAN ONLINE