PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad kini terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.
Menurutnya, beliau sepatutnya bertolak ke Sabah pagi tadi atas urusan kerja, namun terpaksa menangguhkan perkara itu.
“Pagi ini pakai gelang kerana kontak rapat sahabat yang positif. Alhamdulillah setakat ini tidak ada apa-apa gejala. Saya kena kuarantin hingga 3 November ini, insya-Allah 4 November baru bebas,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Katanya, beliau sepatutnya ke Sabah hari ini bagi penyerahan Kompleks Mahkamah Syariah Sabah di Kota Kinabalu selain melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd. Nor.
Idris berkata, buat masa ini, segala urusan kerja dilakukan dari rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.