Idris, Azman, Effandi: Tunggu isyarat Anwar - Utusan Malaysia

Idris, Azman, Effandi: Tunggu isyarat Anwar

NOR AZMAN Hassan menyampaikan sumbangan sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjong Kling, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga ahli dewan undangan negeri (ADUN) ‘kontroversi’ yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, sudah menentukan haluan mereka berhubung komponen Pakatan Harapan (PH) yang bakal disertai.

ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, mereka kini hanya menanti isyarat daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan perkara itu.

Beliau berkata, apa yang pasti langkah besar tersebut tetap dibuat sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu 8 November ini.

“Dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, sudah tentu ada yang suka dan ada juga yang tidak suka kita. Ada yang menyokong dan ada yang menentang.

“Insya-Allah berkat rekod perkhidmatan saya sejak menjadi ADUN pada Mei 2018, saya yakin sokongan kepada saya tetap ada.

“Bagaimanapun, sudah pastilah pengumuman itu dibuat sebelum penamaan calon pada 8 November ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Deepavali di Taman Tangga Batu, Tanjong Kling, di sini hari ini.

Terdahulu, Majlis Presiden PH membuat keputusan bahawa ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak dijadikan sebagai calon PH dalam PRN Melaka.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat oleh Anwar bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Bagaimanapun, nasib Nor Azman bersama dua lagi wakil rakyat iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad tidak diperincikan secara jelas.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan Norhizam bakal bertanding atas tiket Bebas, Nor Azman berkata, beliau yakin bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu akan berbuat demikian.

“Kami yakin beliau mempunyai harapan amat cerah untuk menang kerana di peringkat akar umbi, anggota komuniti di kawasan itu senang dengan beliau kerana beliau kuat bekerja dan sering membantu mengatasi masalah rakyat,” jelasnya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Norhizam dikatakan sedang melakukan persediaan untuk berentap atas tiket Bebas.

Khabar angin itu timbul selepas beliau yang turut dikenali dengan nama YB (Yang Berhormat) Viral memuat naik kenyataan di laman sosial Facebooknya, sedang mencari PACABA.

PACABA adalah singkatan daripada perkataan ejen mengundi (PA), ejen pengira (CA) dan ejen barong (BA). – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya