Ibu tiga anak rakyat Singapura didakwa aniaya kanak-kanak OKU - Utusan Malaysia

Ibu tiga anak rakyat Singapura didakwa aniaya kanak-kanak OKU

SHARIFAH Mazlan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang selepas didakwa atas tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki OKU berusia enam tahun. UTUSAN/NORLIZAH ABAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warganegara Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini terhadap pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak berusia enam tahun berstatus orang kurang upaya (OKU), awal bulan ini.

Sharifah Mazlan, 51, selaku penjaga di sebuah pusat intervensi Autisme di Bandar Baru Ampang dekat sini didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki itu kira-kira pukul 10 pagi, 1 Oktober lalu di pusat berkenaan.

Video kejadian tersebut kemudian tular dalam laman sosial sehingga menimbulkan kemarahan warganet dan orang awam. Laporan polis dibuat oleh bapa kanak-kanak berkenaan pada hari yang sama.

Ibu tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Norhazani Hamzah membenarkan tertuduh dijamin RM13,000 dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan serta diarah melapor diri di balai polis berhampiran setiap 7 haribulan sebagai syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh seorang warganegara asing manakala kes tersebut melibatkan kepentingan awam dan telah mendapat liputan luas.

Bagaimanapun, peguam Samry Masri yang mewakili Sharifah memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan merupakan ibu kepada tiga orang anak yang mana dua daripadanya berusia 17 dan 19 tahun turut menghidap autisme.

Menurut peguam bela, wanita itu menetap di Ampang sejak 20 tahun lalu selepas berkahwin dengan rakyat tempatan berasal dari Perak dan dikurniakan tiga anak iaitu yang sulung berusia 21 tahun.

Di Mahkamah Majistret pula, Sharifah turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menetap di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan iaitu selama sembilan bulan 18 hari.

Menurut pertuduhan, tarikh tamat tempoh memasuki negara ini ialah pada 21 November tahun lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pejabat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini pukul 12 tengahari pada 8 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 pindaan 2002 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15(4) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan juga tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Samry memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin atas alasan tertuduh tidak pernah gagal memperbaharui visa namun menghadapi masalah untuk mendapatkan tarikh temujanji secara dalam talian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Nur Maizan Rahim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan, serta syarat tambahan serupa manakala tarikh sama ditetapkan untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya