'Humban' motosikal dalam longkang elak operasi polis - Utusan Malaysia

‘Humban’ motosikal dalam longkang elak operasi polis

ROSLAN Mohamed (kanan) memeriksa motosikal yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Ipoh malam tadi. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan terdesak sekumpulan penunggang motosikal mengelak dicekup polis menyebabkan mereka sanggup ‘menghumban’ motosikal masing-masing ke dalam longkang sebelum melarikan diri dalam operasi di beberapa lokasi, malam tadi.

Usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemilik lima motosikal berkenaan.

Operasi Bersepadu Samseng Jalanan itu bermula pukul 10.30 malam hingga 5 pagi dengan lima lokasi serbuan iaitu di Pengkalan-Station 18, Meru Raya, Jalan Jelapang-Silibin, Tambun dan Jalan Gopeng-Batu Gajah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Deputi Superintenden Roslan Mohamed@Ab. Aziz berkata, dalam operasi itu, 11 lelaki diberkas kerana berlumba haram dan menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di atas jalan raya.

Katanya, tangkapan berusia 16 hingga 41 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam operasi tersebut, kita telah memeriksa 107 kenderaan dan 215 individu di mana pelbagai kesalahan trafik dikesan terutama membabitkan motosikal.

“Sebanyak 56 saman dikeluarkan kerana didapati tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat yang tidak mematuhi spesifikasi, tiada insurans dan cermin sisi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Roslan, dalam operasi itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 43 notis saman dan arah periksa kenderaan.

Katanya, saringan air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terhadap 21 individu mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan ke atas ketiga-tiga individu itu dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 manakala seorang individu ditahan di bawah Seksyen 6(2)(b) akta sama kerana langgar syarat pengawasan,” katanya.

Menurutnya, operasi itu disertai 10 pegawai dan 68 anggota melibatkan JSPT Perak, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, BSPT IPD Ipoh, JPJ dan AADK Perak. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN