JERANTUT: Senario gajah liar berkeliaran dan berulang-alik antara hutan dengan pinggir kampung dan ladang sawit merupakan pandangan biasa bagi penduduk pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut.
Ini kerana haiwan liar itu sudah ketiadaan habitat dan kawasan rayau mencari makanan di hutan simpan Hulu Tembeling berikutan telah diteroka untuk pembalakan dan pembangunan sektor perladangan.
Sebaliknya gajah dan haiwan liar yang lain mengalih perhatian ke kawasan pinggir kampung untuk mendapatkan makanan bagi meneruskan kelangsungan hayat.
Hal ini berlaku kira-kira pukul 6 petang semalam, apabila beberapa orang penduduk Kuala Sat dan pengunjung terserempak dengan kawanan gajah liar sebanyak 30 ekor termasuk lima ekor anak merayau-rayau mencari makanan.
Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaluddin, 57, berkata, dia bersama dua rakannya dalam perjalanan ke Kampung Bantal ternampak kawanan gajah liar itu berkeliaran di pinggir hutan berdekatan Jambatan Relop, di jalan raya Kampung Kuala Sat, iaitu kira-kira 120 kilometer dengan bandar Jerantut.
“Saya dalam perjalanan ke Kampung Bantal, tiba-tiba ternampak kawanan haiwan liar ini tidak jauh daripada Jambatan Relop sedang merayau-rayau mencari makanan di pinggir hutan di sini.
“Kumpulan gajah ini menarik perhatian kami kerana haiwan ini langsung tidak mempedulikan manusia dan bunyi kenderaan di sini malah terus mencari makanan seperti daun pokok kecil dan mematahkan tumbuhan yang boleh dimakan,” katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di sini hari ini.
Zulkifli berkata, dia sempat merakamkan gambar sambil mengira bilangan gajah liar itu sebanyak 30 ekor termasuk lima ekor anak yang turut mencari makanan.
Katanya, dia kerap terserempak dengan haiwan liar itu melintas jalan di kawasan Bukit Awan berdekatan Kampung Pagi hingga Kampung Kuala Sat pada sebelah petang dan malam kerana kawasan itu masih ada sumber makanan termasuk ladang sawit dan tanaman pertanian penduduk berkenaan.
Sementara itu, seorang pengunjung, Faizul Ishak, 35, berkata, fenomena itu merupakan pengalaman pertama baginya melihat kawanan gajah liar berkeliaran mencari makanan berdekatan kampung.
“Sebelum ini, saya hanya cuma melihat haiwan ini di zoo, tetapi hari ini saya dan rakan terserempak kawanan gajah liar dalam jumlah yang besar dan sempat merakamkan gambar.
“Suasana ini boleh menjadi tarikan bagi pengunjung ke kampung pedalaman Hulu Tembeling seolah-olah seperti menjelajah di safari negara Afrika,” katanya.
Jelasnya, dia di situ cuma melihat gajah liar dari jarak yang jauh untuk memastikan keselamatan walaupun diberitahu seorang rakannya satwa itu tidak pernah mengganggu penduduk di situ cuma menceroboh tanaman berdekatan kediaman.