Hujan lebat punca Empangan Muda melimpah - Utusan Malaysia

Hujan lebat punca Empangan Muda melimpah

TAKUNGAN air di Empangan Muda di Sik melimpah selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Takungan air di Empangan Muda di Sik dekat di sini didapati telah melebihi paras biasa iaitu pada kadar 104.2 peratus berikutan turunan hujan yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, keadaan itu mengakibatkan berlakunya limpahan air dari empangan tersebut ke Sungai Muda.

“Limpahan air dari Empangan Muda ini yang berjumlah 973 kaki padu sesaat itu dialirkan ke Sungai Muda dan ia tidak masuk ke kawasan sawah.

“Kita juga telah memaklumkan pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Daerah Sik dan Kuala Muda setiap kali berlaku pelepasan atau limpahan air dari empangan tersebut,” katanya ketika melawat Kilang Beras Seri Merbok Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Selain itu, katanya, dua lagi empangan yang diuruskan MADA iaitu Empangan Pedu dan Ahning dalam daerah Padang Terap masing-masing berada pada paras 91.68 peratus dan 95.71 peratus.

“Buat masa ini, kita telah menutup semua saliran empangan tersebut untuk mengelakkan sungai melimpah seterusnya menyebabkan banjir.

“Keadaan masih dalam keadaan terkawal dan kita akan terus memantau paras air dari semasa ke semasa,” ujarnya. 

Ahmad Tarmizi pada masa sama menafikan dakwaan kononnya kejadian banjir di Pokok Sena dan Pendang berlaku disebabkan limpahan dari empangan, sebaliknya ia berlaku akibat hujan lebat berpanjangan.

Sementara itu, katanya, kejadian banjir kilat tersebut mengakibatkan sawah padi seluas 370 hektar daripada keseluruhan 619.4 hektar di Pendang dekat sini rosak.

“Jumlah kerugian yang terlibat masih dalam penilaian dan bancian juga akan dilakukan bagi memohon Tabung Bantuan Bencana Tanaman Padi untuk proses penanaman semula,” katanya.

Tambahnya, bagi kawasan Pokok Sena yang turut dilanda banjir kilat pada kelmarin, pihaknya belum menerima laporan berhubung kerosakan padi di situ.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya