GEORGETOWN: Hotel-hotel di kawasan pantai peranginan popular di Batu Ferringhi di sini kembali bernafas dengan kehadiran pelancong tempatan yang mengambil kesempatan bercuti bersama ahli keluarga pada cuti hujung minggu.
Para pelancong tempatan juga dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di kawasan pantai serta tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai di satu-satu lokasi di kawasan pantai.
Bagi Pengarah Komunikasi Shangri-La Rasa Sayang Pulau Pinang, Suleiman Tunku Abdul Rahman, kehadiran para pelancong yang kembali yakin untuk bercuti dan menginap di hotel adalah petanda baik bagi industri perhotelan di negeri ini.
Suleiman berkata, pada ketika ini, dua buah hotel milik Kumpulan Shangri-La, iaitu Shangri-La Golden Sands dan Shangri-La Rasa Sayang di Batu Ferringhi mula menerima tempahan bilik yang menggalakkan daripada para pelancong.
“Tempahan bilik hotel untuk kedua-dua hotel di bawah Kumpulan Shangri-La di Batu Ferringhi sekarang telah mula menunjukkan peningkatan.
“Pada hari biasa (Isnin hingga Jumaat) tempahan bilik mencecah 30 peratus dan ketika hujung minggu tempahan bilik di Shangri-La Golden Sands mencecah 70 hingga 80 peratus manakala di Shangri-La Rasa Sayang pula mencapai 60 peratus ketika hujung minggu,” katanya di sini hari ini.
Menurut Suleiman, setakat ini hanya pelancong yang tinggal di Pulau Pinang sahaja menginap di kedua-dua buah hotel berkenaan memandangkan rentas negeri masih belum dibenarkan.
“Kami juga turut menerima tempahan awal daripada para pelancong di luar Pulau Pinang yang mahu menginap di hotel kami selepas rentas negeri dibenarkan nanti.
“Ramai pelancong dari Johor dan Kuala Lumpur menempah bilik sekitar 20 Oktober depan kerana ramai yang menjangka ketika itu rentas negeri dibenarkan memandangkan banyak negeri telah mencapai 80 peratus vaksinisasi Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Suleiman berkata, pihaknya menjangka tempahan bilik hotel dapat mencecah 90 peratus menjelang November nanti selepas rentas negeri dibenarkan.-UTUSAN ONLINE