PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan mengawal penjualan arak yang dilakukan secara terbuka oleh kedai-kedai runcit termasuk kedai 24 jam sehari.
Presidennya, Jufitri Joha berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengawal penjualan minuman keras secara terbuka yang berlangsung secara berterusan dan dibiarkan lama.
Menurut beliau, perkara itu disuarakan oleh pihaknya dan dibawa usul melalui Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) selain mendapat perhatian pemimpin belia daripada pelbagai kaum.
“Penjualan arak murah secara terbuka menyebabkan masalah sosial kerana pengambilan minuman itu mampu menyumbang kepada permasalahan sosial terutama kepada remaja.
“Ia turut membawa masalah kepada juruwang di kedai-kedai runcit yang rata-ratanya adalah belia beragama Islam. Ini adalah kerana semua sedia maklum bahawa sebarang aktiviti berkaitan arak seperti minum, menjual dan menghantar adalah haram di sisi penganut agama Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Satu laporan baru-baru ini menyatakan tentang kewujudan arak yang menimbulkan persoalan dan kerisauan masyarakat kerana menggunakan nama ‘Timah’ dan memaparkan wajah seorang lelaki berjanggut serta memakai kopiah.
Jufitri berkata, pihaknya tegas mengesyorkan segala jenis minuman arak wajib dijual di bawah pengawasan kerajaan dengan memperoleh lesen untuk menjual minuman tersebut.
“Tindakan ini bertujuan memastikan minuman keras tidak mudah dibeli oleh belia remaja pelbagai kaum, khususnya kepada mereka yang berada di bawah umur dan beragama Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE