MELAKA: Artifak atau khazanah dari Pulau Nangka tidak mungkin dijual di kedai-kedai antik atau pasaran gelap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Institut Warisan Melaka (Inswa), Nurman Mohd. Baroldin berkata, sepanjang pemantauannya ketika bertugas di Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) pada awal 2000 hingga 2019, tiada satu pun artifak atau harta dijumpai di pulau misteri berkenaan.
Jelasnya, sepanjang tempoh pencarian, hanya dua keping syiling sahaja berjaya ditemukan dan khazanah tersebut kini masih disimpan rapi oleh Perzim.
“Tiada artifak ditemukan, selain dua keping duit syiling yang ditemukan oleh kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pencarian harta di pulau berkenaan.
“Syiling tersebut masih lagi dalam simpanan Perzim. Justeru, mustahil untuk menemukan harta Pulau Nangka di pasaran gelap,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sejarawan negara yang juga bekas Pengurus Besar Perzim, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam mendedahkan, terdapat kepingan duit syiling emas yang ditemukan di Pulau Nangka tidak sampai kepada Jabatan Muzium Melaka.
Ia susulan pendedahan Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) yang mendakwa, harta karun di Pulau Nangka bukan cerita dongeng, malah pulau kecil itu dikatakan pernah menjadi kawasan perbendaharaan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai trilion ringgit.
Tambah Nurman, orang ramai diminta berhati-hati dengan dakwaan penjual, kononnya harta atau barang yang ditawarkan di kedai barangan antik atau pasaran gelap berasal dari Pulau Nangka.
“Sekiranya berlaku perkara ini, silalah berhati-hati. Tujuan individu atau kedai yang mendakwa mempunyai artifak Pulau Nangka mungkin demi melariskan perniagaan semata-mata,” katanya.