PETALING JAYA: Walaupun dibolosi sembilan gol dan hanya mampu menjaringkan satu jaringan dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Jordan dan Uzbekistan, namun banyak pengajaran yang dibawa pulang oleh skuad Harimau Malaya.
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan, berdasarkan statistik, ia memang tidak memuaskan tetapi secara keseluruhan banyak perkara positif yang dipelajari pemain dan juga barisan kejurulatihan daripada dua perlawanan tersebut.
Tambahnya, beberapa jentera daripada 22 pemain yang dibawa mempunyai potensi untuk dipanggil semula bersama skuad kebangsaan bagi mengharungi Piala AFF Disember dan aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2023 Januari tahun depan.
“Kita nampak banyak benda positif daripada negatif dalam perlawanan menentang Uzbekistan dan ada sedikit peningkatan berbanding ketika berdepan Jordan.
“Ia satu peluang dan pendedahan untuk pemain baharu serta muda bagi merasai suasana bermain di peringkat antarabangsa. Kami masih pertimbangkan untuk menyerap beberapa pemain pada panggilan akan datang.
“Dari segi statistik memang tidak memuaskan buat semua orang dan juga barisan jurulatih kerana dibolosi 9 gol, adakah berpunca daripada pertahanan, individu atau keseluruhan pasukan itu akan dianalisis semula menerusi video.
“Di peringkat antarabangsa jika kita hanya melakukan sedikit kesilapan terutama berdepan pasukan jauh lebih baik, kita pasti akan dihukum. Hantaran kurang tepat, gagal kawal bola dan bergerak sebagai satu pasukan serta transisi bola (lemah), semua itu perlu diperbaiki,” katanya dalam sidang media secara maya, semalam.
Berdepan pasukan di ranking lebih tinggi, Malaysia yang berada di kedudukan ke-154 dunia mudah diratah oleh Jordan (ke-93) pada aksi pertama apabila tewas 4-0 sebelum sekali lagi rebah di tangan Uzbekistan (ke-84) 5-1.
Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak akan pernah serik untuk berdepan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi kerana dari situ pemain dan barisan kejurulatihan dapat melihat kelemahan ketara dalam pasukan walaupun ia menjejaskan kedudukan ranking pasukan.
Tambahnya, jika bercakap tentang objektif ia masih jauh lagi terutama untuk bersaing dengan pasukan daripada Timur Tengah dan Asia Tengah terutamanya.
“Kita tak boleh nak kata kita sudah capai objektif kerana jauh lagi untuk membandingkan kita dengan pasukan-pasukan dari Asia Barat dan Asia Tengah. Masih lagi perlu buat kerja-kerja rumah yang terbaik untuk persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2023.
“Daripada dua perlawanan menentang Jordan dan Uzbekistan ini, nampak kita masih lagi memerlukan pemain-pemain yang lebih berpengalaman di medan antarabangsa dan pemain-pemain yang ada keinginan untuk meningkatkan prestasi mereka.”