SHAH ALAM: Harga telur ayam di ibu negeri Selangor masih berada pada tahap stabil dan terkawal dengan sebiji telur ayam Gred A dijual pada harga antara 44 sen sehingga 49 sen sebiji.
Bagi harga telur ayam Gred B dijual antara 42 sen hingga 48 sen sebiji manakala telur ayam Gred C pula antara 40 sen hingga 45 sen sebiji.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, variasi pergerakan harga runcit telur ayam di pasaran daerah itu adalah pelbagai dan ini memberikan pilihan kepada pengguna.
Katanya, telur ayam bersifat barang mudah rosak dan tidak boleh disimpan terlalu lama dan disebabkan sifatnya yang mudah rosak menyebabkan harga telur ayam di pasaran tidak ditetapkan oleh peniaga sebagai satu harga yang tetap atau seragam.
“Penetapan harga runcit telur adalah berbeza oleh setiap peniaga disebabkan faktor kos harga borong, belian jumlah bekalan (stock volume), kos operasi premis, sasaran pelanggan dan lain-lain kos.
“Oleh kerana itu, harga jual runcit telur ayam dilihat berbeza atau tidak seragam dijual oleh peniaga di premis-premis. Situasi ini merupakan situasi normal dan ekosistem perdagangan yang seiring dengan sistem ekonomi terbuka di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dalam laporan akhbar berhubung harga telur ayam di daerah itu didakwa sebagai tidak konsisten.
Justeru, Muhamad Zikril menegaskan situasi kepelbagaian kedudukan harga telur ayam di daerah itu masih dalam paras atau sekitar harga yang munasabah dan berpatutan yang tidak sama sekali memberi tekanan kepada kuasa beli pengguna di sekitar Shah Alam.
“Dakwaan yang dilaporkan menyatakan kedudukan harga telur ayam di Shah Alam tidak konsisten adalah kurang tepat mesejnya kepada pengguna,” ujarnya.
Jelasnya, pengguna di Shah Alam mempunyai pilihan lapan pasar basah/awam dan lapan buah pasar raya yang membekalkan bekalan telur ayam pada harga yang kompetitif dan berpatutan dengan kuasa beli pengguna.
Muhamad Zikril menambah, pemilihan premis dan tawaran harga jual runcit adalah di bawah keperluan dan kehendak pengguna sendiri.
“Untuk makluman, item telur ayam tidak termasuk di bawah barang dan harga terkawal seperti minyak masak paket satu kilogram (kg), gas petroleum cecair (LPG), gula pasir putih, tepung gandum serba guna 1 kg, pelitup muka dan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 kecuali semasa musim perayaan telur ayam dikawal harganya di peringkat borong dan runcit di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
“Bagaimanapun, KPDNHEP Selangor amat memandang serius situasi pergerakan harga barang yang menunjukkan kenaikan harga melibatkan barangan keperluan asas pengguna kerana memberi impak kepada kos sara hidup rakyat terutamanya dalam fasa pemulihan ekonomi negara kini,” ujarnya.
Orang ramai boleh membuat pertanyaan dan aduan melalui saluran portal [email protected] atau menghubungi talian 1800 886 800. – UTUSAN