Harga dedak mahal, penternak kurangkan jumlah ternakan - Utusan Malaysia

Harga dedak mahal, penternak kurangkan jumlah ternakan

BAHARUDDIN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kegagalan mengawal harga dedak yang kini mencecah RM115 bagi setiap 50 kilogram telah memberi kesan besar kepada kelangsungan industri ternakan ayam yang didakwa berdepan masalah kekurangan bekalan di pasaran.

Malah, kenaikan harga makanan utama ayam itu yang berlaku setiap bulan menyebabkan penternak tiada pilihan dengan menaikkan harga belian di ladang kepada RM6.50 sekilogram bagi menampung kerugian.

Bagi mengatasi masalah itu juga, ada penternak yang terpaksa mengambil langkah drastik dengan mengurangkan jumlah ternakan mereka sehingga 50 peratus kerana tidak mahu dibebani dengan kos yang tinggi setiap bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan NB Poultry Processing Industries Sdn. Bhd., Baharudin Ahmad berkata, tanggapan orang ramai bahawa kenaikan harga ayam disebabkan ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan adalah tidak benar.

“Selain sebagai pengilang dan pengedar, NB Poultry Processing Industries juga memiliki 55 penternak ayam secara ladang kontrak yang sudah tentu kami amat memahami situasi tersebut.

“Mereka (penternak) juga inginkan sedikit keuntungan tetapi jika harga makanan ayam amat tinggi, kami terpaksa menyusun semula perjanjian yang dibuat antara kedua-dua belah pihak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan beberapa pengusaha makanan terutama peniaga sate berdepan kekurangan bekalan ayam sejak kebelakangan ini sehingga menyukarkan operasi perniagaan mereka yang memerlukan ayam sebagai menu utama.

Tambah Baharudin, disebabkan perkara itu juga, beliau mengakui pihaknya sendiri mengalami kerugian kira-kira RM2 juta dalam tempoh tiga tahun disebabkan kos makanan ayam yang tinggi.

“Ekoran harga dedak mahal, ia turut memberi kesan kepada bekalan anak ayam yang kini berharga RM2.20 seekor berbanding RM1.40 sebelum ini, keadaan itu dilihat tidak memberikan situasi menang-menang kerana masalah yang dihadapi penternak jarang diberi perhatian walaupun mereka ‘sumber’ utama bekalan ayam.

“Disebabkan masalah tersebut juga, ada penternak mengurangkan jumlah ternakan mereka daripada 200,000 ekor kepada 100,000 ekor ayam kerana sudah tidak mampu untuk menanggung kerugian berterusan.

“Ini kerana tidak semua ayam yang diternak 100 peratus akan hidup, ada yang 95 peratus dan sekiranya tidak bernasib baik hanya 40 peratus sahaja yang hidup, di situ sahaja boleh nampak penternak telah rugi,” ujarnya.

Selain itu, ujar Baharudin, kekurangan bekalan juga disebabkan faktor penutupan reban ayam yang ketiadaan pekerja terutama pekerja asing memandangkan sebahagian besar pekerja tempatan tidak berminat dalam sektor itu kerana mereka perlu berada di ladang sepanjang masa bagi memastikan ayam dalam keadaan baik.

“Penyelesaian kepada masalah ini boleh diatasi jika kerajaan membenarkan pekerja asing kembali bekerja di ladang-ladang ayam yang dapat membantu penternak membuka semula reban yang ditutup sebelum ini.

“Malah, kerajaan juga perlu melakukan semua kawalan berkaitan industri ternakan ayam bermula dari penternak, pemborong, pengedar dan peruncit supaya tiada pihak yang menjadi mangsa sekiranya berlaku kenaikan harga ayam di pasaran,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya