PETALING JAYA: Desas-desus kehamilan pengacara dan usahawan terkenal, Noor Neelofa masih menjadi teka-teki apabila dia kekal tidak memberi jawapan berhubung perkara itu.
Meskipun acap kali ditembak soalan sama, isteri kepada pendakwah, Haris Ismail ini tetap dengan keputusannya untuk tidak mengesah atau menidakkan soal kehamilan.
“Orang yang bertemu saya di luar boleh nilai sendiri keadaan saya. Sejujurnya, saya tidak ada perancangan untuk mengumumkan sebarang perkara.
“Apa yang boleh saya katakan, saya amat memerlukan doa, kata-kata dan komen-komen yang positif dari semua orang. Nak cakap lebih pun takut,” katanya.
Neelofa berkata demikian ketika hadir ke Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara TH Travel & Services Sdn. Bhd. dan TheNoor di Kompleks TH, Kelana Jaya pagi tadi.
Mengulas lanjut tentang perkara berkenaan, Neelofa berkata tidak ada apa yang diharapkan buat masa ini selain doa yang baik-baik daripada orang ramai.
Katanya, dia menyerahkan kepada masyarakat di luar sana untuk menilai keadaannya pada ketika ini.
“Untuk sesetengah orang, perkara seperti ini sedikit sensitif. Apa yang boleh saya kongsikan, kita lebih digalakkan untuk berkongsi tentang kelahiran berbanding kehamilan, itu lebih baik.
“Sebab, sepanjang fasa tersebut, apa-apa pun boleh berlaku. Jadi kerana itu, jika ada yang bertanya, saya lebih suka minta mereka doakan saya berbanding yang sebaliknya.
“Anda semua boleh menilai sendiri, lebih-lebih mereka yang berjumpa saya di luar sana, mungkin boleh nampak. Kalau ada yang tegur, saya minta doa sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE