KUALA NERUS: Muka baharu Harimau Malaya, Hakimi Abdullah enggan sekadar menjadi pelengkap dalam kem latihan pusat skuad negara, sebaliknya berazam mengukuhkan kedudukan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.
Katanya, ketiadaan tonggak utama Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid di posisi sayap, bukan tiket mudah buatnya untuk memikat hati jurulatih menjelang dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan, bulan ini.
“Semua pemain berpeluang sama rata untuk berada dalam kesebelasan utama antaranya Luqman Hakim, Al Hafiz Harun dan Baddrol Bakhtiar, jadi saya perlu tunjuk saya adalah yang terbaik.
“Ini merupakan panggilan pertama skuad senior selepas bersama pasukan Bawah 19 (B-19) pada 2018 dan saya mahu kutip pengalaman ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Selain Hakimi, seorang lagi pemain Terengganu FC yang turut sama melapor diri ke kem latihan ialah Faisal Abdul Halim.
Hakimi berkata, tugasan negara kali ini diharap bukan yang terakhir selepas cemerlang dalam saingan liga membabitkan kesemua 22 perlawanan bersama Sang Penyu.
“Saya anggap ini sebagai motivasi untuk kekal konsisten dalam skuad kebangsaan dan mahu melupakan kegagalan merebut temoat dalam empat panggilan sebelum ini. Kalau boleh saya mahu kekal berada dalam perancangan Cheng Hoe dan terus menyarung jersi Malaysia,” katanya.