GEORGETOWN: Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat Pulau Pinang tahun ini.
Anugerah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang yang diadakan secara maya dan hibrid menerusi aplikasi Zoom malam tadi.
Mohamad Shakir, 55, yang merupakan anak kelahiran Padang Menora, Tasek Gelugor itu membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Terdahulu, acara berkenaan dimulai dengan bacaan doa dan surah Yasin yang diketuai Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor. – UTUSAN ONLINE