KUALA LUMPUR: Pelakon, Fizo Omar yang dikhabarkan selamat bernikah semalam memuat naik gambar anaknya, Maryam dengan kapsyen yang mengundang rasa sebak peminat-peminatnya.
“Hadiah paling istimewa buat kamu untuk sepanjang hidup kamu. Kami akan sentiasa menyayangimu Maryam,” tulis Fizo.
Ucapan tahniah dan selamat pengantin baharu lantas membanjiri ruang komen pelakon itu selepas gambar nikah yang memaparkan wajah lelaki miripnya dan seorang wanita dimuat naik oleh akaun @fazeeranazriaz tular.
Malah, gambar profil akaun tersebut juga sama dengan gambar yang dimuat naik Fizo semalam.
Dalam akaun tersebut, gambar pertama yang dimuat naik memaparkan seorang lelaki sedang menyarung cincin usai akad nikah dan disertakan dengan kapsyen Alhamdulillah.
Manakala, gambar kedua yang dimuat naik akaun itu memaparkan wanita tersebut sedang bersiap.
Gambar-gambar yang dimuat naik terus mencetuskan teka-teki dan sehingga kini, masih tiada kenyataan daripada Fizo.