KUALA PILAH: Keputusan sebilangan kecil guru yang masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 diakui memberi kesan dalam konteks pengajaran di sekolah.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, walaupun jumlah guru yang belum menerima vaksin itu kecil iaitu sekitar 2,000 orang berbanding seramai 415,000 guru secara keseluruhan di seluruh negara, kesannya dalam pengajaran di sekolah tetap ada.
“Jika dibahagikan jumlah sekolah iaitu sebanyak 10,000 buah, jumlah itu terlalu kecil, tetapi beri kesan dalam konteks pengajaran.
“Sebab ada sekolah yang guru tidak mahu divaksin ini kadangkala keadaannya mereka mengajar subjek yang sama, satu sekolah semua daripada subjek sama.
“Bagaimama kita nak mengajar, ada juga guru yang satu-satunya yang mengajar subjek tersebut yang tidak mahu divaksin, jadi sekolah itu tiada orang. Mengambil kira jumlah guru dan jumlah sekolah ia tidak menyeluruh, namun kesannya kepada pengurusan pengajaran di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah di sini hari ini.
Tambah Radzi, oleh sebab itu pihaknya mengambil keputusan kepada mana-mana guru yang enggan menerima vaksin, mereka perlu ditukarkan.
“Sebab itu kami maklumkan sebelum ini, kalau perlu ditukarkan, kita tukarkan. Ini bukan soal mengugut atau sebagainya, ini soal pentadbiran.
“Ia seperti juga kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa semua kakitangan awam termasuk guru mesti divaksinkan sebelum 1 November ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan mengenal pasti cadangan untuk pelaksanaan penggal persekolahan bermula pada setiap bulan Mac mempunyai beberapa manfaat.
Ia termasuk bagi mengurus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri yang sering berhadapan dengan masalah banjir pada musim tengkujuh selain tempoh yang lebih singkat untuk lepasan SPM sebelum memasuki universiti. – UTUSAN ONLINE