KLANG: Suasana di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini, gempar apabila sebuah kilang perabot di kawasan itu terbakar, pagi tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.10 pagi.
Katanya, operasi itu disertai sepasukan 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Kota Raja, Sungai Pinang, Andalas dan Petaling Jaya.
“Pemeriksaan mendapati api sedang marak di kilang perabot berkenaan yang juga bangunan Kelas A.
“Kebakaran itu melibatkan kemusnahan sebanyak 40 peratus dan dipadamkan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, operasi pemadaman turut dibantu empat lori tangki air dari BBP Puchong, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Shah Alam, Serdang dan Pandan.
Tambah beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
“Punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE