JERANTUT: Empat taman peranginan dan pusat rekreasi di negeri ini yang ditutup akibat penularan wabak Covid-19 kembali dibuka untuk kunjungan pelancong bermula hari ini.
Satu kenyataan bertarikh 11 Oktober lalu daripada Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim menyebut, jabatan itu bersetuju membuka empat buah taman peranginan dan rekreasi di Pahang daripada lapan buah di Semenanjung.
Kenyataan itu menyebut taman ekopelancongan dan rekreasi dibuka di Pahang, iaitu Taman Negara Pahang d Kuala Tahan (Jerantut), Taman Negara Pahang di Sungai Relau, Merapoh (Lipis), Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah (Lanchang) dan Taman Ramsar di Tasek Bera (Bera).
Kira-kira 300 penggiat dan pengusaha ekopelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut mampu menarik nafas lega dengan pembukaan semula taman peranginan hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu sambil menyifatkan mereka mempunyai masa kira-kira sebulan untuk memperoleh pendapatan sebelum tibanya musim tengkujuh.
Pengusaha rumah inap Greenland Guest House, Afzal Abdul Aziz berkata, sehingga kini, pusat inap miliknya belum menerima tempahan.
“Mungkin pelawat belum mengetahui tarikh pembukaan taman ini dan yakin serta berharap ada pelawat datang menginap hujung minggu ini.
“Kita optimis ada pengunjung domestik seluruh negeri ini dan Lembah Klang pada minggu akan datang kerana taman ini agak sinonim bagi kebanyakan keluarga bercuti pada hujung minggu sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Pengusaha ekopelancongan Kampung Kuala Sat, Alias Hashim berkata, pembukaan Taman Negara Kuala Tahan bermula hari ini memberi peluang kepada pengusaha di situ yang memasarkan pelbagai budaya dan keindahan alam sekitar kampung tradisional Melayu Ulu Tembeling termasuk Orang Asli etnik Bateq di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Sat. – UTUSAN ONLINE