PETALING JAYA: Pelakon versatil, Elfira Loy berkongsi berita gembira yang dia kini sedang hamil cahaya mata kedua.
Menerusi entri Instagram, pelakon kecil molek itu memuat naik satu hantaran gambar yang memaparkan dia sedang memegang sebuah belon yang mempunyai ayat ‘baby 2 is coming’.
“Buat ahli keluarga dan rakan-rakan yang saya sayangi.
“Bolehkah anda membaca berita baik ini? Hehe,” coretnya ringkas di Instagram.
Menerusi entri Instagram, berita kehamilannya itu telah dihujani ratusan komen positif daripada rata-rata warganet dan rakan artis yang menzahirkan ucapan tahniah serta mendoakan yang baik-baik buatnya.
“MasyaAllah, Alhamdulillah. Tahniah El dan keluarga!” komen penyanyi Ernie Zakri.
“Alhamdulillah, tahniah Elfira. Semoga dipermudahkan,” tulis penyanyi Nabila Razali juga.
“Aw, tahniah sayang!” komen pelakon Fazura menerusi ruangan komen.
Di samping itu, segelintir peminatnya juga sudah dapat bau Elfira Loy sudah mempunyai ‘baby bump’ selepas memuat naik beberapa hantaran gambar saat dia bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah, sebelum ini.
“Haha sudah dapat agak. Masa dekat Langkawi hari itu nampak ‘baby bump’. Tahniah,” komen peminatnya.
Sekadar informasi, Elfira dan Faris Khairul Anuar telah diijab kabulkan pada tanggal 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang anakanda bernama Muhammad Rayyan Khalaf.