Dulu ejen insurans, kini ternak ayam kampung - Utusan Malaysia

Dulu ejen insurans, kini ternak ayam kampung

MOHD. Nur Adzwan Mahamad bersama ternakan ayam kampung di rumahnya di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Meninggalkan kerjaya ejen insurans yang pernah meraih pendapatan hingga RM7,000 sebulan masih belum memberikan kepuasan kepada seorang penternak ayam kampung kacuk, di sini.

Mohd. Nur Adzwan Mahamad, 37, kini beralih bidang dengan menjadikan bunyi bising ternakannya di reban sebagai teman seharian setelah meninggalkan bidang insurans pada tahun lalu.

Katanya, dia hanya menyambung usaha ternakan ayam kampung yang dimulakan oleh bapanya, Mahamad Samengon, 69, yang mula menternak haiwan itu pada tahun 2017 dengan permulaan 50 ekor ayam.

Sebelum ini, walaupun be­kerja sebagai ejen insurans di Johor Bahru, tetapi pada sebelah petang dan hujung minggu dia membantu bapanya menguruskan ternakan ayam termasuk dalam urusan pemasaran.

“Terdetik juga di hati kerana terpaksa melakukan dua pekerjaan dalam satu masa iaitu kerja di pejabat dan melayan pelanggan membuat saya mengambil keputusan untuk memilih satu sahaja sebagai kerjaya.

“Dalam masa yang sama, ayah memberikan galakan serta dorongan untuk saya mengambil alih usaha ternakan ayam kampung kacuk supaya dijalankan secara sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, semalam.

Tambah Mohd. Nur Adzwan, ketika ini dia mempunyai sebanyak 500 ekor ayam kampung kacuk yang matang pada tempoh 60 hari dengan berat antara 1.5 kilogram (kg) hingga dua kilogram.

“Berat seperti itu sesuai untuk dipasarkan selain menjimatkan kos makanan yang dianggarkan sebanyak 45 hingga 50 beg sebulan dengan harga setiap beg RM175,” ujar pemegang Diploma Mekanikal daripada German Institute Malaysia (GMI).

Katanya, bagi menjimatkan kos makanan, ayam-ayam yang telah mencapai anggaran berat satu kilogram akan dibiarkan bebas dengan memberikan makan daun-daun sebagai ganti kepada dedak.

“Saya bersama ayah akan memproses ayam-ayam ini sebelum menyimpan di peti sejuk khas sebelum dipasarkan terus kepada pelanggan di Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian.

“Harga ayam kampung kacuk yang siap diproses kini mencecah RM14 sekilogram, manakala ayam kampung biasa berharga RM20 sekilogram ,” katanya.

Bagi perancangan akan datang, dia bercadang untuk membina sebuah lagi reban yang boleh menempatkan 500 ekor ayam. Ini bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi terutama apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dengan permintaan sehingga 300 ekor sehari.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya