ALOR SETAR: Dua maut setelah kereta dinaiki terbakar dalam satu kemalangan berdekatan sebuah pasar raya besar di Jalan Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.
Mangsa melibatkan seorang lelaki yang masih dikenal pasti identiti dan seorang remaja, Tan Sun Wen, 19.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 3.11 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota ke tempat kejadian yang turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela, polis dan Kementerian Kesihatan.
“Semasa pasukan operasi tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dengan keadaan api marak.
“Kebakaran dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya yang berlaku setelah kenderaan itu terbabas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, peratusan kebakaran dianggarkan 80 peratus dan hampir keseluruhan bahagian dalam kereta tersebut.
“Api dipadamkan pada pukul 3.25 pagi dan komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa di dalam kereta tersebut.
“Seorang mangsa berada di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan pada pukul 4.59 pagi dan seorang di tempat duduk penumpang berjaya dikeluarkan pada pukul 4.55 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE