Dua hari ‘buru’ lembu berkeliaran - Utusan Malaysia

Dua hari ‘buru’ lembu berkeliaran

ANGGOTA penguat kuasa dibantu penduduk kampung berusaha menarik lembu yang berjaya ditangkap naik ke atas lori. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Operasi menangkap 12 lembu ternakan penduduk kampung yang berkeliaran di sekitar Taman Hijrah, Padang Kala di sini selama dua hari berturut-turut bukan tugas mudah seperti disangka.

Dalam tempoh itu, antara ujian ditempuh penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), berdepan lembu yang naik minyak dan mahu menanduk mereka, terpaksa mengharungi paya dan hampir jatuh ke dalam perigi buta.

Setiausaha MDKPI, Ahmad Fadzli Abdullah berkata, sepanjang dua hari operasi, ada dalam kalangan penguat kuasa cedera dan terseliuh kaki berdepan lembu yang mengamuk dengan rata-rata mereka mengalami lebam-lebam seluruh badan.

Kata beliau, usaha menangkap 12 lembu milik penternak berusia 68 tahun yang dibiarkan berkeliaran itu dibuat selepas penduduk mengadu haiwan itu menceroboh kebun, memakan anak pokok durian Musang King serta mengotorkan kawasan rumah mereka.

“Kita menerima aduan sudah lama namun tidak dapat meneruskan operasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Operasi ini membabitkan 19 anggota MDKPI dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.

“Ia operasi kedua dilakukan MDKPI tahun ini berkaitan tangkapan haiwan yang mana pada bulan lalu, kita berjaya menangkap tiga ekor lembu di kawasan sama serta dua ekor kambing di Kok Lanas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, sebelum lembu itu ditangkap, pihaknya memberi notis amaran terlebih dulu kepada pemilik untuk menjaga ternakan dengan baik namun jika aduan masih diterima selepas dua minggu, tangkapan akan dilakukan.

Katanya, sekiranya lembu ditangkap, pemilik perlu membayar denda sebanyak RM1,000 bagi setiap seekor jika mahu mendapatkan kembali haiwan ternakannya itu.

“Tindakan kompaun dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau MDKPI dan jika pemilik tidak datang menuntut, jumlah denda akan bertambah setiap hari bergantung kepada kos makanan dan upah penjagaan RM100 sehari.

“Jika dalam tempoh enam hari haiwan itu tidak juga dituntut, ia akan dilelong,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya