Dua anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah - Utusan Malaysia

Dua anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah

SHAH Erwan Kasa @ Mansor (depan, kiri) dan Andinor Zabidin (belakang, kanan) yang dituduh menerima rasuah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua anggota polis dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini  atas dua pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM500 empat tahun lalu.

Tertuduh, Shah Erwan Kasa @ Mansor, 41, dan Andinor Zabidin, 37, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas dua pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri  Mohamad @ Shaharudin.

Pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang berpangkat koperal dan koperal sokongan polis dengan niat bersama secara rasuah memperoleh wang tunai sebanyak RM300 daripada seorang lelaki yang kini berusia 28 tahun.

Dua individu berkenaan yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dekat sini, didakwa menerima rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan serta seorang wanita yang disyaki berkhalwat dalam kereta.

Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan pada 26 Mei 2017 kira-kira pukul 12.30 pagi di Jalan Lagenda 3, Sungai Petani, dekat sini.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dua anggota polis tersebut didakwa dengan niat bersama telah menerima rasuah sebanyak RM200 daripada lelaki sama sebagai dorongan untuk tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Jun 2017, antara pukul 9 hingga 9.30 malam di tepi tasik, Jalan Persiaran Perdana Height, Lot 88, Sungai Petani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dengan tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen pada 22 November 2021.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN