Dikompaun kerana lupa, tidak tahu guna MySejahtera - Utusan Malaysia

Dikompaun kerana lupa, tidak tahu guna MySejahtera

PEGAWAI Penyelia OP Covid IPD Manjung, Asisten Superintendan Heng Kok How (kanan) melakukan pemeriksaan ketika operasi di sekitar Pulau Pangkor, Perak, semalam. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Terlupa dan tidak tahu. 

Itu alasan diberikan 15 individu termasuk pelancong di Pulau Pangkor, dekat sini yang dikompaun kerana tidak mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis perniagaan dan pelancongan serta tidak memakai pelitup muka ketika berada di pulau itu, semalam.

Mereka dikompaun dalam Op Covid Khas Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Chong Boo Khim, bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mereka yang dikompaun terdiri daripada sembilan lelaki dan enam wanita berusia antara 21 hingga 62 tahun, dengan jumlah kompaun RM23,000.

“Sebanyak 12 kompaun dikeluarkan kerana gagal mendaftar masuk ke dalam premis menggunakan MySejahtera dengan ada yang memberi alasan lupa dan tidak tahu wajib mengimbas menggunakan aplikasi tersebut.

“Polis turut mengeluarkan tiga kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya hari ini.

Menurut Nor Omar, operasi oleh tiga pegawai dan 12 anggota polis itu bertujuan memastikan semua pengunjung ke pulau peranginan tersebut mematuhi SOP PPN Fasa 3 yang masih berkuat kuasa.

Beliau berkata, polis menjalankan pemantauan rapi ke atas pengunjung di tempat peranginan, tumpuan orang ramai dan kedai-kedai yang berada di kawasan tumpuan pelancong.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk terus kekal mematuhi SOP dan melaksanakan kawalan kendiri sebaik sahaja mungkin dalam menghadapi cabaran penularan Covid-19 daripada terus merebak. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya