PETALING JAYA: Tidak kira apa cara sekalipun yang mahu digunakan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula, dia perlu menjaringkan gol tegas pengurus pasukan Harimau Malaya Datuk Yusoff Mahadi.
Jika sebelum ini, tempoh masa singkat dan kurangnya perlawanan antarabangsa menjadi faktor kegagalan De Paula mempamerkan aksi terbaik, beliau berharap dua perlawanan persahabatan Tier 1 bertemu Jordan malam ini dan Uzbekistan pada 9 Oktober,di Amman dapat dibuktikan penyerang kelahiran Brazil itu.
“Bila kita melihat permainan De Paula di Dubai sebelum ini, mungkin kebanyakan penyokong-penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi dia tetapi kita kena faham kali pertama dia bermain bersama skuad kebangsaan.
“Kali ini, dua perlawanan itu mesti digunakan oleh De Paula untuk menunjukkan prestasi lebih baik, soal dia berlari atau tidak itu antara dia dengan jurulatih (Tan Cheng Hoe).
“Paling penting dia sebagai penyerang tugas utama adalah menjaringkan gol, kalau tidak menjaringkan gol itu bukan dipanggil penyerang,” katanya kepada media, baru-baru ini.
De Paula, 34, menerima kecaman hebat selepas aksi hambar ditunjukkan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lalu dan telah menjaringkan dua gol dalam empat penampilannya iaitu satu gol masing-masing ketika perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Vietnam (kelayakan).
Tambah Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, dua perlawanan ini akan menjadi medan untuk pasukan menilai kemampuan De Paula.
“Saya harap kali ini dia ada lebih banyak masa, kita dan jurulatih akan nilai semula kemampuan De Paula. Kita pilih dia kerana rekod dimilikinya iaitu antara penyerang terbaik dalam liga kita (Liga Malaysia).
“Kalau tiap-tiap perlawanan dia tidak boleh jaringkan gol bermakna tiada guna kita ambil dia. Episod itu (di Dubai) telah berlalu dan sekarang ini dia kena buktikan bahawa dia pilihan yang tepat untuk mengemudi serangan negara,”ujarnya.