PUTRAJAYA: Guru dan penceramah agama di negara ini disaran mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah dari pihak berkuasa agama negeri masing-masing sebelum menyampaikan ilmu dan dakwah.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya memahami tugas menyampaikan ilmu dan dakwah adalah suatu amalan mulia.
Namun, katanya, semua pihak diingatkan untuk mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan semua pihak.
“Pada masa sama, Jakim menasihati masyarakat khususnya umat Islam agar mendapatkan ilmu dari para ilmuwan yang diiktiraf dan mempunyai kelayakan dalam bidang ilmu disampaikan.
“Sekiranya ragu-ragu atau kurang jelas mengenai sesuatu perkara, silalah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Pejabat Mufti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE