Daken 2021: 7 teras tentukan hala tuju seni, budaya dan warisan negara

Daken 2021: Tujuh teras tentukan hala tuju seni, budaya dan warisan negara

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelancaran Dasar Kebudayaan Negara 2021 (Daken 2021) bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana  pembangunan seni, budaya dan warisan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri dalam masa yang sama turut menjelaskan inisiatif tersebut dapat menjadikan ketiga-tiga sektor berkenaan sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.

Sehubungan itu katanya, strategi dan pelan tindakan bagi merealisasikan matlamat tersebut akan berpandukan tujuh teras antaranya budaya nilai tinggi; keharmonian masyarakat dan pemeliharaan serta pemuliharaan warisan budaya.

“Selain itu, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan dan kecemerlangan budaya turut menjadi teras bagi merencanakan pembangunan seni, budaya dan warisan negara.

“Pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten. Selain pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal, dasar ini turut menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan para pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan yang sedia ada,” katanya menerusi ucapan Pelancaran Dasar Kebudayaan Negara 2021 (Daken 2021) malam ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Daken 2021 digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia dengan menggariskan hala tuju Malaysia untuk menjadi ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’.

Lima prinsip tersebut adalah keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh. 

“Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan Daken 2021 ini sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya