SEPANG : Kegagalan pertahanan Terengganu FC (TFC) Shahrul Nizam Ros Hasni melaporkan diri bersama skuad kebangsaan sudah pasti memberi kekecewaan buat barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Bagaimanapun, pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe menegaskan beliau tidak akan sesekali mengambil tindakan untuk tidak memanggil semula Shahrul bersama pasukan pada masa akan datang.
Tambahnya, mana-mana pemain yang beraksi dengan baik di Liga Malaysia (Liga M), sudah pasti mempunyai peluang besar untuk mewakili pasukan Harimau Malaya.
“Saya rasa ini satu kerugian apabila dia (Shahrul Nizam) tidak bersama dengan skuad kebangsaan. Untuk (tindakan ) seterusnya saya serahkan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).
“Tugas saya hanya bawa pasukan, kita tidak dapat hubungi dia, itu yang buat kita rasa kecewa kerana memang kita nak beri peluang kepada Shahrul Nizam.
“Kami barisan jurulatih akan meneliti sama ada dia ada sebab tertentu atau sebagainya. Sudah tentu pada panggilan akan datang saya tidak akan pernah ‘stop’ mana-mana pemain, kalau mereka bermain begitu baik dalam Liga Malaysia, jadi tiada sebab untuk tidak memanggil pemain itu.
“Kalau pemain lain boleh menggantikan dia atau lebih bagus, mungkin kita terpaksa melupakan dia,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pagi tadi.
Terdahulu, Cheng Hoe mengesahkan hanya 22 pemain dibawa ke Jordan selepas Sharul gagal dihubungi manakala pemain Selangor Sharul Nazeem Zulpakar terpaksa digugurkan saat akhir akibat kecederaan.
Nama Sharul antara tiga pemain disenaraikan Cheng Hoe Khamis lepas bagi menggantikan tiga pemain utama iaitu pertahanan FC Midtjylland Dion Cools, Muhammad Syahmi Safari (Selangor) dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid, akibat kecederaan.